ADAKAH ia satu mitos tentang mandi pada waktu malam boleh mendatangkan
kemudaratan pada kesihatan? Ramai kalangan masyarakat Malaysia
mengatakan amalan sebegini boleh mendatangkan pelbagai masalah
kesihatan.
Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu
malam boleh mendatangkan penyakit kronik? Apa kata pakar dalam penjagaan
kesihatan tentang isu ini?
Dr. Anies Tan, seorang doktor
perubatan di hospital swasta menjelaskan kajian menunjukkan yang mandi
bukan sahaja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi juga boleh
menghilangkan stres.
Katanya, mandi memainkan peranan penting
dalam mempertingkat sistem imun badan selain mengelak berlakunya
penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.
"Kebanyakan
penyakit kronik antaranya diabetes, hipertensi, kegagalan buah pinggang
dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam
badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang mengatakan
mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit ini," kata
beliau.
Menurut Dr. Tan, air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin.
"Mandi
dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus
berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi
dengan air sejuk boleh membantu.
Tetapi bagaimana dengan isu mandi pada waktu malam?
Kata
Dr. Tan, negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah
panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan
kemudaratan.
"Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal
di negara yang mempunyai iklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik
kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus.
"Amalan
mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga, pesakit
yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami galakkan mandi". Kata
beliau, kegagalan mandi yang secukupnya boleh mendatangkan penyakit
kulit dan juga bau badan.
"Bakteria boleh bertindak pada peluh
dan ini membangkitkan bau badan," katanya sambil menambah bahawa
kesegaran mandi membuatkan badan lebih sihat, selain membersihkan
bakteria daripada permukaan kulit.
"Pembersihan kulit berlaku
bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita menggunakan sabun
antibakteria," katanya dan menerangkan prinsip yang sama pada amalan
membasuh tangan.
"Ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita
kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi
walaupun pada waktu malam," kata beliau.
Ekzema
Ekzema
adalah penyakit kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi kering,
senang mengalami iritasi dan kegatalan. Tiada ubat bagi masalah ini
tetapi penjagaan kulit yang baik membantu mengawalnya.
"Bila
kulit anda kering, ia bukannya kurang minyak tetapi kurang mengandungi
air. Untuk itu, penjagaan kulit harian yang baik serta fokus pada mandi
dan penggunaan pelembab diperlukan," terang Dr. Tan.
Katanya,
rawatan bagi kulit yang kering adalah dengan membuatkan kulit
mengandungi air dan cara yang terbaik dengan berendam ketika mandi dan
menggunakan losyen pelembab selepas itu.
"Tujuan mandi dan memakai pelembab adalah untuk memulihkan kulit kering.
Bagi tujuan ini, kita perlu kurangkan kehilangan air daripada kulit.
"Pakar
dermatologi (kulit) mengesyorkan mereka yang ada masalah ini supaya
mandi dan menggunakan pelembab pada waktu malam. Kulit anda tidak
mungkin kering semasa anda tidur, jadi air lebih senang meresap ke dalam
kulit," terangnya.
Jadual kerja ketat
Ada juga ramai yang
tidak punya masa untuk mandi secukupnya kerana jadual kerja yang agak
ketat. Ada juga yang bermasalah bila berjauhan dari rumah dan tidak
sesuai dengan tempat di mana mereka berada.
Pengamal perubatan,
Hassan Saidin menerangkan jadual kerja yang ketat menyebabkan ramai ahli
perniagaan serta peniaga enggan mandi secukupnya.
Ramai peniaga
perlu keluar berniaga pada awal-awal pagi lagi dan hanya pulang ke rumah
pada lewat malam. Ini menyebabkan mereka malas mandi kerana menyimpan
tenaga untuk aktiviti perniagaan pada esoknya.
"Gagal mandi
adalah tidak baik bagi kesihatan dan ini boleh mengundang pelbagai
penyakit yang mengganggu kehidupan kita. Ia juga boleh mengganggu
keyakinan dan produktiviti kita," kata beliau.
Tetapi kenapa orang tua-tua mengatakan mandi malam tidak baik?
"Nasihat sebegitu mungkin tidak berapa boleh dipakai lagi pada masa kini.
Mungkin pada dekad-dekad yang lampau masyarakat masih belum maju dan kebanyakan rumah tidak punya saluran bekalan air paip.
"Satu
masa dulu, ramai yang tinggal di luar bandar serta menggunakan perigi
dan sungai untuk mandi. Untuk pergi ke perigi dan sungai pada waktu
malam tanpa cahaya lampu dan suasana gelap gelita mungkin mengundang
pelbagai bahaya seperti binatang berbisa dan juga bahaya di sungai,
sebab itulah mungkin orang tua melarang kita daripada mandi waktu malam.
"Kini
kita semakin maju dan mempunyai kemudahan yang jauh lebih baik. Bagi
mereka yang pulang malam, eloklah bersihkan badan terlebih dahulu
sebelum ke tempat tidur," kata beliau.
Pemulihan badan
Menurut Hassan, mandi adalah kaedah baik bagi merehatkan otot badan.
"Setelah
bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat. Mandi pada
malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan ketahanan
fizikal dan emosi.
"Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi
di waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat
daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit," katanya.
Jadi, adakah mandi malam sememangnya satu amalan tidak sihat?
Kata
Hassan: "Sudah tentu tidak. Ia bukan memudaratkan bagi orang yang
sihat". Menurut Hassan, mandi menggunakan air hangat akan membuka liang
roma dan membersihkan badan dengan mengeluarkan toksin dan memberikan
kesan yang segar kepada seseorang itu.
"Mandi juga membuatkan anda dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur)," tambah beliau.
Menurut pengamal homeopati itu lagi, mandi adalah satu amalan semula jadi bagi memberi regangan kepada minda dan badan.
Seseorang itu bukan hanya dapat tidur lena tetapi juga tidur dengan lebih lama jika beliau mandi sebelum tidur.