SEORANG lelaki bertindak nekad mendekati Afligido untuk menikamnya dengan lembing.
ORANG ramai sibuk berlari, menunggang kuda dan berteriak. Mereka berkejar-kejaran sambil merancang strategi untuk mengepung dan mengalahkan seekor lembu laga jantan. Masing-masing mengacukan lembing untuk disasarkan ke arah tubuh haiwan berkenaan yang mendengus dan mengganas akibat keresahan serta kesakitan.
Begitupun, lembu itu akhirnya mati juga di tangan mereka. Ratusan orang telah berganding bahu menumpaskan Afligido, seekor lembu jantan seberat 608 kilogram dalam festival Toro de la Vega. Nama Afligido itu sendiri yang bermaksud 'kedukaan' seakan-akan mengejek hayat haiwan tersebut.
Berlangsung di bandar Tordesillas di wilayah tengah negara tersebut, lembu itu berlari cemas merentasi jalan dan lorong, menyeberangi Sungai Duero hinggalah akhirnya ia tewas di sebuah kawasan dataran.
Selain luka parah akibat ditusuk puluhan lembing dari pelbagai arah, Afligido yang kehabisan tenaga dan tidak mampu lagi berlari akhirnya dibunuh dengan satu tikaman menggunakan alat pemutar skru besar tepat di kepalanya.
Ritual merejam lembu dengan lembing beramai-ramai itu adalah tradisi yang diwarisi sejak Zaman Pertengahan di negara itu. Ia jauh mendahului sebuah lagi tradisi lama yang juga dianggap tidak berperikemanusiaan iaitu pertandingan laga lembu.
Festival yang bermula sejak tahun 1453 itu disifatkan sebagai acara yang kejam dan memalukan oleh golongan pencinta haiwan serta banyak lagi pertubuhan bebas sedunia. Sebahagian besar rakyat Sepanyol sendiri merasakan festival itu perlu dihentikan dan diganti dengan acara lain.
Selain daripada insiden seorang penunjuk perasaan wanita yang nekad menyembur cecair pemedih mata kepada seorang perejam lembing di Tordesillas, sebuah perarakan protes turut dijalankan di Madrid.
PULUHAN peserta berkuda menyasarkan lembing mereka ke arah lembu jantan yang menjadi 'mangsa' sambutan sebuah warisan tradisi.
"Kami protes sambutan Toro de la Vega ini. Selain acara laga lembu, kami juga mahu festival yang lebih kejam ini dihentikan. Budaya negara ini tidak sepatutnya diasaskan dengan tindakan menyeksa dan menyebabkan kematian haiwan secara suka-suka," kata Silvia Barquero, jurucakap kumpulan pejuang hak haiwan, PACMA.
Wilayah timur laut Sepanyol iaitu Catalonia akan menganjurkan pertandingan laga lembu terakhirnya pada 25 September nanti. Perkara itu tercapai setelah mengambil kira undi bantahan pada tahun lalu yang mahukan tradisi itu dilenyapkan terus dari bumi Sepanyol.
Dalam perkembangan lain, PACMA mencabar majlis perbandaran Tordesillas untuk mengisytiharkan Toro de la Vega sebagai aset budayanya.
Setiap wilayah di Sepanyol mempunyai penilaian dan undang-undang tersendiri berkaitan isu perlindungan haiwan. Begitupun, pertandingan laga lembu masih dibenarkan termasuk di Tordesillas yang terus menganggap Toro de la Vega perlu disambut setiap tahun atas nama kesinambungan tradisi.
KUMPULAN pencinta haiwan mengadakan perarakan di Madrid bagi memprotes festival Toro de la Vega yang kejam.
kalo suka sila share :)