Mungkin ada di antara kita mempunyai pembantu di rumah. Namun tahukah
kita bahawa kita masih lagi wajib untuk menjaga aurat apabila berada di
dalam rumah bersama dengan pembantu rumah.
Soalan:
Saya bercadang selepas bernikah dan memiliki rumah sendiri insya-Allah, untuk mengambil seorang pembantu rumah dari Indonesia.
Akan tetapi saya pernah terbaca bahawa ini tidak dianjurkan. Benarkah
demikian? Adakah mengambil dan memiliki pembantu rumah memiliki hukum di
sisi agama?
Jawapan:
Islam sebagai agama yang syumul bukan
sahaja bertujuan mencegah kemungkaran, tetapi juga mencegah jalan-jalan
yang boleh – secara bertahap-tahap – membawa kepada kemungkaran. Oleh itulah Allah tidak sekadar melarang zina tetapi melarang apa jua yang dapat mendekati zina.
Firman Allah: Dan janganlah
kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang
keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). [al-Isra’
17:32]
Merujuk kepada hukum pembantu rumah,
hendaklah diketahui bahawa rumah ialah tempat suami dan isteri
berehat-rehat dan bersenang-senang selepas letih bekerja, baik pada
waktu malam atau pada hari cuti. Dalam suasana seperti ini, suami dan isteri kerap dalam keadaan tidak menutup aurat. Suami khasnya, mungkin hanya selesa dengan memakai kain sarung atau seluar pendek.
Tentu saja dibolehkan bagi suami untuk
tidak menutup aurat sepenuhnya jika di dalam rumah, dengan syarat tidak
hadir perempuan yang bukan mahram. Jika hadir seorang pembantu rumah
perempuan, maka dia adalah mahram bagi suami sehingga suami wajib
menjaga aurat dan membataskan pergaulan.
Namun agak kerap suami
tidak mengetahui pembantu rumah adalah mahramnya atau memandang hal ini
sebagai remeh sehingga tidak menjaga aurat dan pergaulan. Tidak ketinggalan, isteri juga bersikap seperti suami sehingga membiarkan suami dalam keadaan bebas dengan pembantu rumah.
Bahkan kadangkala isteri terpaksa keluar
rumah kerana sesuatu urusan lalu meninggalkan suami berduaan dengan
pembantu rumah. Ini sekali lagi adalah satu kesalahan. Dalam sebuah
riwayat, disebutkan: Berhati-hatilah, jangan sampai kalian
berkhalwat dengan wanita, demi diriku yang berada di tangan-Nya,
tidaklah berduaan seorang lelaki dan wanita melainkan masuk syaitan di
antara keduanya.
Bahawa sesungguhnya adalah lebih baik
seorang lelaki untuk bergeseran dengan khinzir yang berlumuran dengan
tanah atau lumpur daripada dia menggeserkan bahunya dengan bahu seorang
wanita yang tidak halal baginya.[Riwayat al-Thabarani, al-Targhib wat
Tarhib, no: 2855]
Atas sebab-sebab inilah, memiliki pembantu rumah bukanlah sesuatu yang selari dengan Islam.
Selain itu pembantu rumah juga berkemungkinan menyebabkan suami, isteri dan anak-anak menjadi pemalas.
Masing-masing tidak tahu menguruskan hal-ehwal rumah sehingga apabila
pembantu rumah berhenti atau menghilangkan diri, kesemua ahli keluarga
dalam keadaan yang berserabut sehingga tidak dapat ke pejabat atau ke
sekolah.