
Pengacara Aznil Nawawi mula terdedah dengan penjagaan wajah
seawal usia 12 tahun dan sehingga sekarang telah menggunakan sebanyak
sembilan jenis produk kecantikan.
Aznil berkata, pada usia
tersebut dia sudah mula praktik menggunakan tiga jenis produk wajib
iaitu pencuci, penyegar dan pelembap.
"Kebanyakan lelaki selalu menganggap remeh tentang penjagaan wajah mereka. Bagi mereka itu perkara yang leceh.
"Lain
pula dengan saya yang sudah mula menjaga wajah pada usia muda. Jika
dahulu hanya tiga produk sahaja, sekarang ini saya pakai sembilan jenis
yang antaranya seperti krim mata, pemutih, serum, penegang kulit, dan
pelindung matahari selain tiga pembersih utama pencuci, penyegar dan
pelembap.
"Rasa muka ini seperti bogel pula apabila tidak mengenakan apa-apa," katanya.
Tambah
pengacara rancangan Clever itu, dia akan meluangkan masa
sekurang-kurangnya sejam untuk merawat wajahnya sebelum keluar rumah
melakukan rutin hariannya.
Dan jika tidak meletakkan sebarang
pelembap wajah, risiko untuk terdedah dengan cahaya matahari lebih mudah
selain kurang berkeyakinan diri apabila bertemu dengan orang ramai.
"Saya
percaya, sesiapa sahaja yang menjaga raut wajahnya akan berasa lebih
berkeyakinan berbanding yang tidak berbuat apa-apa. Pada masa yang sama
juga kita akan lebih maju daripada segi karier kerana personaliti yang
dibawa itu," tegasnya.
Sementara itu, pengacara itu berharap agar
kariernya diangkat lebih tinggi dengan melakukan satu kelainan untuk
menghiburkan peminat-peminatnya yang terdiri daripada kalangan
kanak-kanak sehinggalah orang dewasa.
"Saya selalu ingin membuat
kelainan agar para peminat tidak bosan dengan persembahan saya tidak
kira dalam bidang pengacaraan di televisyen mahupun acara konsert.
"Sebab
itu Konsert Hore-Hore dianjurkan kerana bagi saya ia satu kelainan
apabila seorang pengacara yang membuat konsert, bukannya penyanyi."