PADA tahun 2010, Luka Rocco Magnotta dikecam oleh kumpulan aktivis
haiwan kerana mendera dua ekor anak kucing. Dia memuat naik video
penderaan tersebut di laman sosial YouTube.
Sekarang, lelaki itu sekali lagi ditahan. Kali ini dia yang
berusia 29 tahun ditangkap atas kesalahan yang jauh lebih serius iaitu
membunuh kekasihnya, yang juga seorang lelaki.
Anak kelahiran Ontario itu merupakan seorang pelakon video lucah dan
pelacur gay. Dia diburu oleh polis antarabangsa, Interpol kerana
membunuh teman lelakinya, seorang warga China.
Lin Jun, 33, pelajar jurusan kejuruteraan dan sains komputer Universiti Concordia di Montreal, Kanada dibunuh dengan kejam.
Pada sebelah malam tanggal 24 Mei lepas, Jun yang terbaring dalam
keadaan bogel di atas katil dengan kedua-dua kaki dan tangannya diikat,
ditikam bertubi-tubi menggunakan besi pemecah ais di apartmen tempat
tinggal Magnotta di Montreal.
Magnotta telah membuat rakaman kejadian itu menerusi video berdurasi
10 minit. Video yang diberi tajuk One Lunatic, One Ice Pick itu
seterusnya dimuat naik ke internet untuk tatapan umum.
Magnotta yang digelar sebagai Kanibal Kanada itu turut melakukan
penderaan seksual terhadap mayat Jun dan mengerat anggota badannya. Dia
meratah sebahagian daripada daging segar kekasihnya itu.
Kemudian, anggota badan lelaki yang gemar bermain dengan kucing itu
dipos kepada beberapa agensi termasuk sekolah dan pejabat parti politik
di Kanada menerusi syarikat penghantaran yang berbeza.
"Sebahagian anggota kaki dan tangan mangsa dikirimkan ke dua buah
sekolah di Vancouver iaitu Sekolah St. George dan Sekolah Rendah False
Creek.
"Sebahagian daripada kakinya diterima ibu pejabat parti pemerintah
Kanada, Parti Konservatif dan sebelah tangan diterima oleh pejabat Parti
Liberal di Ottawa pada 29 Mei," kata sumber kepada media.
Badan Jun ditemui dibungkus dalam beg pakaian yang diletakkan di
tempat pembuangan sampah berdekatan apartmen Magnotta. Ketika ditemui
polis mendapati alat kelamin Jun masih melekap pada badannya.
Bagaimanapun, usaha menjejaki kepala lelaki yang bekerja sebagai
jurujual separuh masa di sebuah kedai serbaneka itu masih diteruskan.
Polis percaya kepala itu turut dikirimkan menerusi pos dan pihaknya sedang menunggu di manakah lokasinya akan tiba.
Selepas diburu polis selama 10 hari, Magnotta yang berketinggian 173
sentimeter akhirnya ditangkap Isnin lalu ketika dia melayari internet di
sebuah kafe siber di Berlin, Jerman.
Biarpun usaha menjejakinya berdepan sedikit kesukaran, ketika
ditangkap Magnotta tidak melawan bahkan menyerah diri sambil berkata:
"Sayalah orang yang kamu cari itu."
Sebelum ditahan, Magnotta terbang dari Kanada ke Paris, Perancis
iaitu dua hari selepas kejadian tersebut.
Dia bernasib baik kerana
melepasi pemeriksaan imigresen meskipun seluruh dunia sedang
menjejakinya.
Setibanya di Perancis, Magnotta bermalam di situ selama dua hari
sebelum sekali lagi melarikan diri ke Jerman dengan menaiki bas.
Sekalipun bijak dalam penyamaran, lelaki itu akhirnya dapat ditangkap
pada pukul 11.30 hari Isnin lalu di Helin Tele and Internet Cafe.
Ketika itu dia tampil dengan wajah dicukur rapi, mengenakan jean, berkaca mata hitam dan memakai sehelai jaket hitam berhud.
Sebelum itu lelaki yang bermata biru itu pernah melakukan pembedahan
plastik pada wajahnya untuk kelihatan seperti pelakon James Dean. Dia
kerap mengenakan gincu dan mekap. Kadangkala Magnotta memakai pakaian
wanita, rambut palsu dan mewarnakan rambutnya.
Dia begitu licik di internet. Magnotta menggunakan medium itu untuk
mengiklankan diri sebagai pelacur dan menjadi penari bogel. Menurut
polis, lelaki berbintang Leo itu mempunyai 70 buah akaun Facebook.
Ketika bekerja, Magnotta yang asalnya bernama Eric Clinton Kirk Newman lebih selesa menggunakan nama panggilan sebagai Angel.
Dalam sejarah hidupnya, Magnotta pernah menjadi lelaki penghias muka depan sebuah majalah di Toronto pada tahun 2005.
Dia juga menjadi peserta rancangan realiti televisyen COVERguy di negara itu tetapi gagal mara ke peringkat seterusnya.
No comments:
Post a Comment