Tidak semua yang kaya itu tamak dan berlagak. Ada juga mereka yang dikurniakan Allah berharta tetapi beriman dan rela memberi harta mereka untuk urusan kebajikan. Tak ramai orang yang seperti ini. Kami kongsikan kisah jutawan dan pengasas Bank Al-Rajhi yang memilih untuk menjadi ‘miskin’.
Pengasas Bank Al-Rajhi
Kisah Sulaiman Al-Rajhi
Jutawan
Arab Saudi yang berjaya mengubah hidup beliau daripada seorang rakyat
miskin hingga berjaya mengumpul kekayaan, Sulaiman Al-Rajhi, merupakan
seorang dermawan yang terkenal di dunia.
Beliau adalah pengasas Bank Al-Rajhi, bank Islam terbesar di dunia, dan salah satu daripada syarikat terbesar di Arab Saudi.
Sehingga
2011, kekayaan beliau telah dianggarkan oleh majalah Forbes, bernilai
sebanyak AS$ 7.7 bilion sekali gus disenaraikan sebagai orang ke-120
yang terkaya di dunia.
Yayasan Saar milik beliau adalah sebuah organisasi amal yang terkenal di negara tersebut.
Keluarga
Al-Rajhi dianggap sebagai salah satu daripada keluarga kaya yang BUKAN
daripada keluarga diraja, dan mereka adalah antara dermawan terkemuka di
dunia.
Walaupun
Al-Rajhi adalah seorang jutawan, tetapi beliau memilih untuk menjadi
‘miskin’ sehinggakan beliau tidak mempunyai sebarang wang dan juga saham
yang dimiliki beliau sebelum ini.
Keadaan
tersebut terjadi apabila beliau memindahkan kesemua aset yang dimiliki
kepada anak-anak beliau dan mendermakan aset-aset yang selebihnya.
Bagi
menghargai jasa beliau terhadap dunia Islam, termasuk mengasaskan bank
Islam terbesar dunia dan juga segala usaha yang dijalankan untuk
membasmi kemiskinan, Al-Rajhi telah dipilih untuk menerima Anugerah
Antarabangsa Raja Faisal atas jasa beliau kepada Islam.
Dalam
satu wawancara yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi dari Al-Eqtisadiah
Business Daily, Al-Rajhi menceritakan tentang bagaimana beliau mampu
meyakinkan ketua-ketua bank di dunia, termasuk Bank of England, hampir
30 tahun lalu, bahawa bayaran ‘faedah’ adalah sesuatu yang haram bagi
kedua-dua agama iaitu Islam dan Kristian, dan bank secara Islam adalah
penyelesaian yang terbaik bagi menaikkan taraf ekonomi dunia.
Kisah Al-Rajhi berkisarkan tentang bagaimana seseorang itu meraih kekayaan dari bawah.
Beliau
terpaksa melalui kesusahan ketika beliau kecil sebelum menjadi kaya,
dan kemudiannya meninggalkan segala harta yang ada setelah mengecapi
kejayaan.
Al-Rajhi masih lagi aktif dalam bekerja walaupun usia beliau telah mencecah lebih daripada 80 tahun.
Beliau memulakan tugas harian sejurus selepas solat Subuh dan terus bekerja hingga selepas solat Isyak.
Beliau
kini sedang memberikan tumpuan terhadap Yayasan SAAR, dengan
berulang-alik di negara-negara Arab bagi menguruskan segala hal-hal yang
berkaitan dengan yayasan tersebut.
Beliau
sering membawa diari kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan
sentiasa memastikan tidak akan terlepas dari satu aktiviti pun.
Al-Rajhi juga merupakan seorang yang amat berjaya dalam apa jua bidang yang beliau ceburi.
Selain
daripada mengusahakan bank Islam terbesar dunia, beliau juga telah
mengasaskan ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah.
Daripada
segi perladangan, beliau telah menjalankan banyak eksperimen ternakan
secara organik di negara-negara Arab, termasuk perladangan udang
Al-Laith. Beliau juga turut mengasaskan perniagaan hartanah dan juga
beberapa lagi pelaburan.
Temubual:
Sheikh Suleiman, adakah anda kini telah menjadi miskin semula?
Ya. Kini apa yang saya miliki hanyalah
pakaian-pakaian saya. Saya telah membahagikan harta saya kepada
anak-anak dan juga mendermakan selebihnya untuk menjalankan
projek-projek amal. Ini bukanlah sesuatu yang aneh bagi saya. Kedudukan
kewangan saya kini telah menjadi kosong sebanyak dua kali dalam hidup
saya. Jadi, saya amat faham akan keadaan ini. Namun, kini perasaan itu
dipenuhi dengan kegembiraan dan juga ketenangan. Sememangnya saya yang
memilih untuk menjadi miskin.
Mengapa berbuat begitu?
Segala kekayaan dimiliki oleh Allah s.w.t,
kita hanyalah ditugaskan untuk menjaga kekayaan tersebut. Ada beberapa
sebab mengapa saya memilih untuk memilih jalan ini. Antara sebab-sebab
utamanya adalah saya perlu menjaga sahabat-sahabat Islam dan juga
anak-anak saya. Ia adalah antara perkara yang paling penting dalam
hidup. Saya juga tidak suka untuk membuang masa di mahkamah hanya kerana
ada antara mereka yang tidak bersetuju dengan jumlah harta yang
diwariskan kepada mereka. Terdapat banyak contoh di mana anak-anak mula
berpecah hanya kerana harta yang kemudiannya menghancurkan syarikat.
Negara ini telah banyak kehilangan syarikat-syarikat besar kerana
perbalahan harta yang boleh diselesaikan jika kita mencari jalan
penyelesaian yang lebih berkesan. Selain daripada itu, setiap umat Islam
perlu bersedekah sebagai bekalan pahala di akhirat kelak, Jadi, saya
lebih suka jika anak-anak saya mencari kekayaan sendiri daripada
bergantung dengan saya.
Adakah Sheikh mempunyai banyak masa terluang setelah membahagikan kesemua harta?
Seperti yang telah saya maklumkan tadi,
saya masih lagi bekerja keras untuk mendapatkan lebih derma. Saya telah
bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menjayakan projek ini. Secara
kebiasaanya, umat Islam sering membahagikan satu per tiga ataupun suku
daripada kekayaan mereka untuk bersedekah yang hanya akan diberikan
setelah mereka meninggal dunia. Namun, bagi saya, saya mahu mula
bersedekah ketika saya masih hidup. Jadi, saya telah membawa anak-anak
saya ke Mekah pada hujung bulan Ramadhan dan memberitahu mereka idea
saya. Mereka bersetuju terhadap idea tersebut. Saya telah meminta
bantuan daripada agensi-agensi yang berkaitan untuk membahagikan kesemua
harta saya termasuk saham dan juga hartanah kepada anak-anak dan juga
untuk didermakan. Kesemua anak-anak saya berpuas hati terhadap inisiatif
saya dan mereka kini sedang menguruskan segala harta yang saya berikan
kepada mereka.
Berapa banyak harta yang dibahagikan kepada anak-anak dan juga untuk didermakan?
Beliau tergelak tanpa memberi sebarang jawapan.
Apakah perasaan Sheikh terhadap kesemua projek yang sedang dijalankan?
Saya ingin menegaskan bahawa terdapat
beberapa faktor yang saya ambil sebelum melakukan sebarang pelaburan.
Eksperimen yang saya lakukan terhadap pertukaran wang adalah salah satu
daripada sebab mengapa saya mengasaskan bank. Ketiadaan bank Islam juga
menjadi antara sebab mengapa saya mula mengasaskan Bank Al-Rajhi, yang
kini merupakan bank Islam terbesar di dunia. Saya mulakan eksperimen
saya dengan membuka pejabat di Britain dimana kami mula memperkenalkan
sistem perbankan Islam ke peringkat yang lebih besar. Eksperimen
tersebut kemudiannya mula berkembang dan ia mula mendapat sokongan
daripada ulama-ulama Saudi pada ketika itu. Saya masih ingat lagi
bagaimana permohonan saya untuk mendapatkan lesen untuk membuka bank
tidak diterima pada mulanya. Ini adalah kerana pihak British tidak
memahami apa-apa pun tentang sistem perbankan Islam. Saya kemudiannya
pergi ke London dan berjumpa dengan Pengurus Bank of England dan dua
daripada pegawai kanan beliau. Saya memberitahu mereka bahawa penggunaan
faedah adalah haram bagi Islam dan juga Kristian dan kebanyakan
daripada mereka sanggup menyimpan wang mereka di dalam kotak di rumah
daripada menyimpan di dalam bank. Saya cuba untuk meyakinkan mereka
bahawa (jika mereka mula membuka bank Islam) ini mampu menaikkan taraf
ekonomi dunia. Mereka akhirnya bersetuju untuk mula membuka bank-bank
Islam. Saya kemudiannya mula mengembara ke serata dunia di bahagian
Timur dan Barat, dan berjumpa dengan ketua-ketua bank negara di beberapa
buah negara dan memberitahu mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat
dalam dunia ekonomi Islam. Kami mula bekerja dan mencapai kejayaan di
negara-negara Arab dan melaksanakan perbankan Islam di London, saya
kemudiannya berjumpa dengan Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz bin Baz dan
Sheikh Abdullah bin Humaid, dan memberitahu mereka tentang rancangan
saya bahawa : ‘Kita mampu, dengan izin Allah, memajukan perbankan Islam.
Mereka memuji saya atas inisiatif yang saya jalankan. Dari situlah kami
mula mengusahakan Bank Al-Rajhi seperti mana yang anda dapat lihat hari
ini. Bagi projek Ladang Ternakan Al-Watania pula, saya mula mendapat
inspirasi untuk menjalankan projek tersebut apabila melawat ladang
ternakan di luar negara. Saya dapati bahawa cara mereka menyembelih
adalah salah. Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk melabur dalam
bidang ternakan atas nama Islam dan negara. Saya tetap menjalankan
projek tersebut walaupun membuat pelaburan dalam industri ternakan
adalah sesuatu yang agak berisiko pada masa tersebut. Kini, Al-Watania
telah menjadi salah satu daripada projek mega di Saudi. Syarikat
tersebut mendapat 40 peratus daripada saham di negara-negara Arab, dan
ayam-ayam Al-Watania diberikan makanan yang cukup dan disembelih dengan
cara yang halal menurut undang-undang syariah.
Walaupun dengan semua kekayaan yang dimiliki, mengapa syeikh tidak mempunyai satu pun kapal terbang sendiri?
Saya ada banyak kapal terbang, tetapi
kesemuanya dimiliki oleh syarikat-syarikat penerbangan tertentu. Saya
memilikinya setiap kali saya membayar tiket penerbangan untuk ke
satu-satu destinasi (gurauan). Saya sering terbang dengan kadar kelas
ekonomi kerana Allah tidak memberikan kita harta untuk ditunjuk-tunjuk.
Bagaimana pula dengan hobi syeikh?
Saya tidak mempunyai sebarang hobi yang
khusus. Bagaimanapun, saya suka mengembara di padang pasir. Saya tidak
pernah mengambil pakej percutian di negara-negara lain selain dari
Saudi.
Ketepatan masa Al-Rajhi
Wawancara ini telah menunjukkan bagaimana
disiplin Al-Rajhi dalam menepati masa. “Pada awal karier saya dalam
industri, saya mempunyai beberapa perjumpaan dengan beberapa syarikat
besar di Eropah. Saya masih ingat lagi kisah dimana saya terlambat
selama beberapa minit dalam satu perjumpaan dengan salah seorang pegawai
besar sebuah syarikat. Walaupun hanya beberapa minit, beliau tidak mahu
meneruskan perjumpaan tersebut. Selepas kejadian tersebut, setelah
projek kami mula berkembang, pegawai yang sama pula lambat untuk
berjumpa dengan saya, jadi, saya pula yang tidak mahu meneruskan
perjumpaan tersebut. Saya sering membawa kertas untuk menulis segala
perjumpaan dan urusan dan sentiasa memastikan agar saya sering menepati
masa walau apa pun.”
Al-Rajhi
berkata lagi: Saya amat menepati segala perkara yang diterapkan dalam
Islam sepanjang hidup saya. Saya pernah mendapat undangan daripada
kerajaan Arab untuk menghadiri satu persidangan yang berkaitan dengan
pelaburan. Kemudiannya, dalam persidangan yang sama, saya dijemput untuk
mengambil bahagian dalam majlis makan malam mereka, saya dapati bahawa
antara aktiviti yang dijalankan ketika majlis tersebut adalah
bertentangan dengan ajaran Islam. Saya kemudiannya keluar dari majlis
makan malam tersebut. Kemudian, Abdul Aziz Al-Ghorair dari UAE turut
serta bersama saya. Tidak lama selepas itu, menteri yang
bertanggungjawab terhadap persidangan tersebut datang kepada kami dan
kami mula menerangkan kepada beliau bahawa aktiviti yang dijalankan di
majlis tersebut adalah bertentangan dengan budaya Islam. Beliau
kemudiannya berkata bahawa aktiviti-aktiviti di majlis tersebut akan
dibatalkan. Apabila mereka membatalkan aktiviti tersebut, kami kembali
menyertai majlis tersebut.
Penyelesaian Masalah
Al-Rajhi berkata: Pada satu masa, salah
satu daripada kilang yang diuruskan oleh anak saya habis dijilat api.
Apabila dia datang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada saya, saya
memberitahu: Sebut Alhamdulillah. Saya meminta anak saya supaya tidak
membuat sebarang laporan tentang kerugian yang dialami bagi meminta
pampasan daripada pihak berkuasa. Sebaliknya, pampasan yang diberikan
oleh Allah adalah lebih penting bagi kita. Assam Al-Hodaithy, Pengurus
Kewangan bagi syarikat Ternakan Al-Watania berkata: “Apabila kilang
tersebut terbakar, kami telah membuat keputusan untuk tidak menyakiti
hati Al-Rajhi dengan memberitahu beliau tentang apa yang terjadi. Kami
kemudiannya berjumpa dengan beliau keesokan harinya dan memberitahu akan
perkara yang terjadi, beliau mengarahkan kami untuk berpindah ke tempat
lain dan membersihkan segala kerosakan sehingga semuanya dibaiki.”
Perkara yang sama terjadi di satu lagi projek Al-Watania di Mesir.
Syarikat tersebut kerugian kira-kira SR10 juta Pound Mesir. Apabila
pegawai projek tersebut menghubungi Al-Rajhi untuk memberitahu perkara
tersebut, beliau terkejut apabila Al-Rajhi menjawab dengan menyebut: “Alhamdulillah.”
semoga beliau sentiasa dirahmati~~
pakcik, saya mau jadi menantu pakcik! haha
kalo suka sila share :)