JENAZAH seorang ulama di Indonesia, Kiai Abdullah H. Mukmin yang meninggal dunia pada 22 Oktober 1983 berbau wangi manakala kain kapannya masih elok ketika kuburnya digali untuk dipindahkan ke tempat lain di Tangerang, Jakarta, baru-baru ini.
Menurut sebuah akhbar semalam, mayat Kiai Abdullah tidak reput dan masih berada dalam keadaan baik sama seperti ketika ditanam 26 tahun lalu.
Kayu penutup jenazah itu didapati tidak reput termasuk kain kapan.
Anak sulung Kiai Abdullah, Mukhtar Ali yang mengangkat jenazah bapanya dari liang lahat mengaku berasa terkejut.
“Keadaan jenazah sama seperti semasa ditanam pada 22 Oktober 1983.
“Cuma tubuhnya kelihatan kurus manakala rambutnya putih,” kata Mukhtar.
Mukhtar dan keluarganya turut terkejut kerana jenazah bapa mereka berbau wangi.
Menurutnya, bau itu tidak sama dengan wangian yang dijual di kedai-kedai minyak wangi.
Beberapa orang yang berada di kubur itu melaungkan takbir semasa menyaksikan kejadian tersebut.
Kubur Kiai Abdullah terpaksa dipindahkan bagi memberi laluan kerja-kerja pelebaran jalan.
Ketika masih hidup, Kiai Abdullah banyak menghabiskan masanya dengan belajar dan mengajar agama.
Kubur baru ulama itu kini di depan pekarangan rumah seorang lagi anaknya, Achmad Fathi, yang terletak 15 meter dari lokasi pusara lamanya. – Agensi
No comments:
Post a Comment