Pembedahan kosmetik seperti sedut lemak tidak boleh dipandang ringan biar pun ia dikatakan satu prosedur biasa dan melibatkan pembedahan kecil. Sekecil mana pun pembedahan itu tetap ada risiko tersendiri. Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (USFDA) menganggarkan, bagi setiap 100,000 pembedahan sedut lemak, 3 hingga 100 kes berakhir dengan kematian.
Sedut lemak bukanlah proses menurunkan berat badan. Ia merupakan proses memperbaiki bentuk/membetulkan kecacatan anggota supaya tampak normal atau untuk kecantikan semata-mata.
Sebelum anda mengambil keputusan menjalani sebarang pembedahan kosmetik, perkara pertama perlu anda tanya diri sendiri adakah ia benar-benar diperlukan atau sekadar memenuhi keinginan.
Sihat Untuk Pembedahan
Pakar pembedahan kosmetik akan memeriksa kesihatan pesakit terlebih dulu bagi memastikan mereka sihat untuk menjalani pembedahan. Individu yang menghidap penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi yang tidak terkawal dan terlalu gemuk tidak layak dibedah kerana risiko pembedahan sangat tinggi.
Pelbagai komplikasi boleh berlaku ketika dan selepas pembedahan, terutama pembekuan darah dalam pembuluh darah. Selain itu, jika anda demam atau mengalami jangkitan, anda perlu menunggu sehingga sembuh terlebih dulu.
Individu yang sesuai menjalani rawatan lemak adalah mereka yang mempunyai berat badan normal atau lebih sedikit. Mereka juga mesti mempunyai kulit anjal, tegap dan mempunyai tahap kesihatan yang baik.
Jika anda gemuk atau berlebihan berat badan, rawatan terbaik adalah jaga makan dan kerap bersenam. Ini kerana proses membuang lemak tidak akan menurunkan paras kolesterol dalam darah kerana lemak yang disedut terletak di bawah kulit.
Bagi individu yang mengalami gejala lemak viseral akibat kegemukan di pinggang (ukuran pinggang melebihi 90 sm bagi lelaki dan 80 sm bagi perempuan), rawatan sedut lemak tidak menghilangkan masalah anda kerana lemak penyebab masalah ada di dalam abdomen.
Justeru itu, amat penting seseorang memilih doktor yang benar-benar bertauliah dan berpengalaman.
Tidak dinafikan ramai keliru kerana banyak klinik persendirian, malah pusat kecantikan, menawarkan rawatan sedut lemak tetapi orang ramai perlu berhati-hati.
Selidik dulu latar belakang doktor dan klinik yang menawarkan khidmat itu. Pastikan ia berdaftar dengan Kementerian Kesihatan khusus untuk pembedahan kosmetik, sama ada doktor berdaftar dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Majlis Perubatan Malaysia (MMC) atau Persatuan Pakar Bedah Plastik, Estetik dan Kraniomaksilofasial Malaysia (Mapacs).
Mesin Body-Jet
Body-Jet merupakan antara mesin sedut lemak terbaru di Malaysia. Mesin yang dicipta di German pada tahun 1988 ini mengurangkan risiko dan lebih selamat.
Tidak seperti mesin lain, teknik sedut yang digunakan agak lembut. Lemak yang diganti dengan pancutan air mengurangkan komplikasi. Ia meminimumkan trauma kerosakan tisu manusia.
Pembedahan sedut lemak adalah asas dalam pengurusan pembedahan kontur tubuh. Ia sebenarnya memulakan era baru pembedahan plastik yang lebih bersifat minimally invasive dengan parut pembedahan yang kecil. Justeru sedut lemak digunakan untuk membetulkan kebanyakan masalah kontur tubuh.
Taburan lemak pada tubuh wanita dan lelaki juga berbeza-beza (sex-specific fat distribution). Secara purata, perempuan lebih banyak lemak dan ia ditunjukkan menerusi gynoid pattern collection, iaitu tertumpu di paha, punggung, pinggul dan dada. Lelaki pula, lemak terbentuk di android pattern collection yang tertumpu di perut dan dada.
Kaedah sedut lemak mungkin prosedur kecantikan paling popular selepas botox. Walaupun diakui boleh mengecilkan, merampingkan dan membetulkan masalah kontur tubuh di perut, dalam dan luar paha (saddle bags), lengan dan pinggang, ia dianggap oleh beberapa pihak sebagai bukan rawatan terbaik untuk selulit.
Kalori yang bertukar menjadi lemak dan berada dalam lapisan dalam kulit sukar dibuang sepenuhnya menerusi pembedahan. Sedut lemak juga menelan belanja yang besar dan ia hanya untuk mereka yang sihat. Bagaimanapun, jika anda mahu cantik, sanggup berbelanja besar dan mahu mencuba, tepuk dada tanyalah selera.
Cara terbaik menyingkirkan lemak ialah dengan kurangkan pengambilan makanan berkalori. Amalkan diet bersesuaian dengan gaya hidup dan pastikan mempunyai berat ideal. Lakukan senaman, aerobik misalnya. Ada nutrisi tertentu yang boleh anda ambil untuk menentang selulit dengan menstimulasikan pengeluaran lemak, kitaran darah dan saliran limfa.
Info Tambahan
* Pembedahan sedut lemak bertujuan membuang lemak dari bahagian-bahagian tertentu badan seperti perut, punggung, lengan dan juga sekitar paha.
* Pembedahan sedut lemak bukanlah alternatif bagi mengurangkan berat badan. Ia bertujuan untuk mengembalikan bentuk tubuh badan.
* Pembedahan ini biasanya dilakukan dengan memberi pesakit anaesthesia umum. Namun begitu ada juga yang menjalani pembedahan tersebut menggunakan anaesthesia setempat.
* Individu yang ingin menjalani pembedahan mesti mempunyai kesihatan yang baik tanpa menghidap apa-apa penyakit lain seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya.
* Bahagian yang biasa dilakukan adalah perut dan paha bagi kaum wanita, manakala kaum lelaki pula perut dan tepi perut.
thanks to sihat selalu
artikel asal tentang sedut lemak di SIHAT SELALU - Pembedahan Sedut Lemak (Liposuction)
ReplyDeletethanks to sihat selalu
ReplyDelete