Tahukah anda bahawa solat boleh merawat penyakit yang kritikal ?
Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.
HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya
mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu
meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Berikut adalah beberapa hasil kajian yang telah dilakukan berkaitan solat:
AKTIVITI OTOT – Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas
Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu
sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat
apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang
membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai
senaman ringan.
“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam
beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai
aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal
tubuh,” katanya. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang
jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif
terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan
untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.
ISYARAT OTAK – Ng Siew Chok
Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses
kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik
boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala.
Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk
mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.
“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya
Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang
dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas
bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.
“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika
sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya
bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,”
katanya.
Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.
Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.
Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan
otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu
dihadapinya dalam aktiviti harian.
KOMPOSISI TUBUH – Dr Fatimah Ibrahim
Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.
Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh,
tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang
menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding
pengambilan darah.
“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini,
tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status
penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit
kritikal lain,” katanya.
Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh
terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali
sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk
dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara
sujud dan tahyat akhir.
Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.
Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat
berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat
secara bersendirian.
“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat
bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat,
cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya
meneutralkan cas tubuh.
“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat.
Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan
mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas
negatif,” katanya.
Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.
Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.
Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas
21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan
tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak
yang meningkat serta paras glukos rendah.
Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat
mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh
melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai
gerakan solat.
Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran
saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang
belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.
Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat
selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya
berkurangan.
“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit
pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja
sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan
Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama
seperti gerakan solat,” katanya.
Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.
Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan
ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.
“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan
ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas
melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat
tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,”
katanya.
Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit
Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar
sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini,
kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling
rendah adalah ketika berbaring.
“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar
denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini
menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.
Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas
untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit
jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana
boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk
melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan
senaman selama 30 minit setiap hari.
moral--- berusahalah untuk solat...selamat beramal~~~~ :)
No comments:
Post a Comment