sekadar gambar hiasan
ATLANTA: Seorang wanita mengalirkan air mata sejurus selepas dia dibenarkan melepasi kawalan keselamatan lapangan terbang hanya kerana rambut keriting melampaunya.
Pendandan rambut, Isis Brantley, dilaporkan berjalan menuruni eskelator di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson di Atlanta, Georgia, apabila dia ditahan pegawai keselamatan di situ.
Sebelum itu, Isis dibenarkan ke dewan menunggu apabila melepasi alat pengimbas keselamatan.
Kata Isis, dia terkejut apabila terdengar seseorang menjerit ke arahnya dan menyuruhnya berhenti.
“Dua anggota keselamatan mengarahkan saya berhenti untuk memeriksa rambut kerana disyaki menyembunyikan bahan letupan,” katanya.
Berasal dari Dallas, Texas, Isis berkata, dia terpaksa menurut kehendak anggota keselamatan itu dan membiarkan mereka memeriksa rambutnya dengan teliti.
Katanya, dia menangis kerana malu diperlakukan begitu.
“Sepatutnya mereka boleh membawa saya ke tempat tertutup sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut,” katanya.
Selepas disahkan selamat, Isis dilepaskan semula, tetapi dia membuat aduan rasmi kepada penyelia keselamatan di lapangan terbang itu.
Pegawai di situ kemudian meminta maaf atas perbuatan kakitangannya.
Sering mengunjungi pelbagai bandar raya di seluruh Amerika Syarikat untuk bertemu pelanggannya, Isis berkata, rambut keriting itu adalah semula jadi dan disimpannya sejak 20 tahun lalu.
Katanya, selama ini rambut lebatnya itu tidak pernah menimbulkan kecurigaan atau dianggap mengancam keselamatan sehinggalah dia berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson semalam.
“Insiden itu menyebabkan saya ketakutan kerana ada kemungkinan saya dimalukan sekali lagi,” katanya.
Sementara itu, pegawai keselamatan berkata, walaupun peralatan keselamatan dipasang di lapangan terbang mampu memastikan ketenteraman awam terjaga, kadang-kadang langkah tambahan diperlukan.
“Pemeriksaan lanjut mungkin diperlukan ke atas pakaian, topi atau rambut yang mungkin digunakan untuk menyembunyikan objek larangan,” katanya.
Jurucakap itu berkata, kakitangan keselamatan menawarkan Isis ke bilik pemeriksaan tetapi dia menolaknya. - DM
No comments:
Post a Comment