SUTTON COLDFIELD, Britain - Seorang ibu melahirkan bayi perempuan pada pukul 10 pagi 10 minit dan 10 saat pada 10 Oktober 2010 di Hospital Good Hope di Sutton Coldfield, Britain.
Ibu itu, Keelie Hearne melahirkan anak perempuannya itu seberat 1.68 kilogram yang diberi nama Niamh Bond.
Sebuah jam digital mencatatkan masa kelahiran bayi itu dengan tepat.
Hearne yang berusia 20 tahun berkata:"Apabila saya merenung ke arah jam dan melihat sepuluh saat, saya berasa terkejut besar."
Menurutnya, tarikh lahir anaknya dianggap terlalu istimewa kerana kelahiran itu merupakan yang pertama buat dirinya.
"Dia (anaknya) amat kecil dan mempunyai jari-jari yang halus. Dia amat cantik," katanya.
Bayi itu dilahirkan lapan minggu lebih awal daripada jangkaan asal.
Namun, air ketubannya pecah semasa dia bekerja sebagai pelayan pub menyebabkan dia dihantar ke hospital itu pada malam Sabtu lalu.
Pada pukul 9.40 pagi kelmarin, dia mula menunjukkan tanda-tanda akan melahirkan anak.
Pasangan hidup Hearne, Dean Bond yang berumur 22 tahun yang masih belajar cara-cara menurap bata di sebuah kolej menganggap kelahiran anaknya itu merupakan hari yang paling bertuah dalam abad ini.
Bond berharap kelahiran anaknya itu akan memberi tuah untuk keluarganya. - Agensi
No comments:
Post a Comment