Ini adalah suatu kesulitan yang amat besar. Cerita salah, tak cerita
rasa bersalah. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Namun seperti biasa,
apabila kita menghadapi kebuntuan di dalam sesuatu hal, kembalilah kita
merujuk Al-Quran dan hadith.
Secara ringkasnya, seseorang hanya disunatkan mengaku bersalah pada
semua jenis kesalahan yang boleh mengakibatkan hukum dera, seperti
berzina dan mencuri. Islam telah menganjurkan agar seseorang yang telah
melakukan kesalahan tersebut menyimpan rahsia dan bertaubat nasuha.
Di dalam sebuah riwayat yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a.,
seorang lelaki dari kalangan orang Islam datang kepada Rasulullah s.a.w
ketika baginda sedang berada di masjid. Lelaki itu memanggil baginda
s.a.w, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah melakukan zina.”
Rasulullah s.a.w berpaling darinya dan menghadapkan wajahnya ke arah
lain.
Lelaki itu berkata lagi kepada baginda, “Wahai Rasulullah!
Sesungguhnya aku telah melakukan zina.” Sekali lagi Rasulullah s.a.w
berpaling daripadanya.
Perkara itu berlaku sebanyak empat kali. Apabila dia mengaku ke atas
dirinya sampai empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w memanggilnya dan
bersabda, “Adakah kamu gila?”
Lelaki itu menjawab, “Tidak.”
Rasulullah s.a.w bertanya lagi, “Apakah kamu sudah berkahwin atau berumah-tangga?”
Lelaki itu menjawab, “Ya”.
Maka Rasulullah s.a.w bersabda kepada para sahabatnya, “Bawalah dia pergi dan laksanakanlah hukuman rejam ke atas dirinya.”
Berdasarkan tingkah laku Rasulullah s.a.w. inilah, para ulama
berpendapat bahawa dianjurkan untuk tidak mengaku berzina di hadapan
seorang hakim. Lalu mengapa pula perkara itu perlu disebut di hadapan
orang lain?
Rasulullah s.a.w pernah menyatakan, “Setiap umatku diampunkan dosanya
kecuali yang menyatakan secara terang-terangan (telah melakukan dosa).
Termasuk terang-terangan ialah seseorang yang melakukan dosa pada malam
hari, sehingga waktu pagi rahsianya ditutupi oleh Allah, (tetapi) waktu
paginya dia berkata: Hai Si anu, semalam aku telah melakukan itu dan ini
(dosa), sedangkan Allah menutup perbuatannya (dari pengetahuan manusia)
sepanjang malam itu. Sepanjang malam itu Allah menutup rahsianya
(perbuatan dosa), tetapi waktu pagi dia membuka apa yang telah ditutup
oleh Allah.”
Di dalam Tafsir Al-Azhar, karangan Prof Dr. Hamka, diceritakan pada
zaman permerintahan Umar Al-Khattab r.a. terdapat seorang wanita yang
telah berzina dan telah mencemarkan nama baik diri sendiri dan abangnya.
Beliau merasa kecewa dengan kehidupan dan bertekad untuk melakukan dosa
yang lebih besar lagi, iaitu membunuh diri.
Wanita tersebut cuba memotong urat lehernya dengan sebilah pisau.
Namun beliau sempat diselamatkan oleh abangnya, lalu dirawati. Setelah
sembuh, beliau dipindahkan ke rumah bapa saudara mereka di Madinah. Di
sanalah beliau mula memperbaiki kehidupannya dengan bertaubat dan taat
beribadat sehingga menjadi seorang wanita yang warak.
Tidak lama kemudian, beliau telah dipinang. Bapa saudaranya berasa
gelisah lalu berjumpa dengan Khalifah Umar Al-Khattab r.a. untuk
mengadu. Mana mungkin seorang wanita yang pernah terlanjur berkahwin
sedangkan perkara itu telah dinyatakan dengan terang dalam surah An-Nur
ayat 3, “Lelaki yang berzina tidak dinikahi melainkan dengan perempuan
yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu tidak
dinikahi melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik.
Demikian itu terlarang kepada orang yang beriman.”
Bapa saudara wanita itu juga menyatakan kepada Umar tiada sesiapa
yang mengetahui hal ini, hanya kepada Umar sahaja perkara ini dirujuk.
Lalu berkata Umar r.a., “Jangan engkau sekali-kali membuka rahsia ini
kepada orang lain. Tutup mulutmu rapat-rapat. Sekiranya engkau berani
menceritakan, nescaya hukuman ke atasmu amat berat. Sekarang, anak
saudaramu itu wajib dikahwinkan secara layaknya perkahwinan orang-orang
terhormat.”
Penasihat Umar ketika itu, Ubay Bin Ka’ab r.a. juga berada di sisi
dan mengetahui hal berkenaan. Ubay r.a. juga telah dipesan supaya
merahsiakan hal berkenaan. Lalu berkata Ubay r.a., “Keputusanmu amat
tepat wahai Amiril Mukminin, sedangkan orang yang musyrik lagi diterima
taubatnya …”
Firman Allah di dalam Surah Al-Anfal ayat 29, “Wahai orang-orang yang
beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi
kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan
menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa)
kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.”
Di dalam surah As-Syura ayat 25 Allah telah berfirman, “Dan Dia lah
Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta
memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Ia mengetahui
akan apa yang kamu semua kerjakan.”
Pada surah An-Nisa ayat 10 pula, berfirman Allah lagi, “Dan sesiapa
yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan
melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia
akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Terdapat banyak lagi ayat-ayat di dalam Al-Quran dan hadith-hadith
yang menunjukkan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Ini adalah kerana, menurut sebuah riwayat daripada Rasulullah s.a.w.,
“Sekiranya kamu semua tidak ada yang melakukan dosa, nescaya Allah akan
menciptakan suatu makluk yang baru, yang melakukan dosa, lalu mereka
memohon keampunan daripadaNya, kemudian Allah mengampuni mereka.”
Kita harus bersyukur kerana masih lagi beragama Islam dan mengaku
Allah itu satu serta nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Sedangkan di luar
sana ramai yang telah jauh terpesong, ramai yang tergolong dari kalangan
anti-hadith atau anti-sunnah, ramai terjebak dengan ajaran sesat dan
yang paling buruk ialah murtad.
Sekiranya seseorang itu ikhlas bertaubat, sudah tentu Allah bersedia
memberi keampunan dan limpah kurniaNya. Keampunan Allah dan rahmatNya
akan memberi kesan bagaimana manusia sekeliling melayani dan menerima
dirinya.
note - saya hanya copy dari blog lain.. jika korang nak paham lebih lanjut, adalah lebih baik korang g bertanya kepada yang pakar dalam hal2 macam ni.. XD
No comments:
Post a Comment