Menurut statistik, satu daripada lima orang dewasa berumur dalam lingkungan 25-44 tahun mengalami masalah jerawat. Masalah kulit ini bukan hanya disebabkan oleh satu faktor sahaja sehingga sangat sukar untuk menanganinya. Walaubagaimanapun, tabiat yang sering anda lakukan sedikit sebanyak akan mempengaruhi pertumbuhan jerawat. Tidak percaya? Cuba lihat bukti tersebut:
1. Memakai make-up ketika bersenam
Kesalahan terbesar yang dilakukan oleh kebanyakan wanita adalah membersihkan wajah setelah selesai bersenam. Sedangkan, sebelum bersenam wajah perlulah dalam keadaan bersih supaya ketika berpeluh, debu atau sisa make-up tidak melekat pada wajah.
Produk-produk perawatan kulit dan rambut seperti hair conditioner, gel, krim pencukur, pelembap, krim pelindung dan produk-produk lain yang mengandungi minyak boleh menyumbat pori-pori dan menyebabkan jerawat muncul. Gantikan produk tersebut dengan bahan yang tidak mengandungi minyak atau noncomedogenic.
Walaubagaimanapun, anda masih perlu membersihkan wajah sebelum bersenam.
Anda juga perlu mempertimbangkan samada produk-produk tersebut diperlukan oleh kulit anda kerana produk-produk yang telah disahkan oleh pakar dermatologi sekalipun masih boleh menyebabkan jerawat pada sesetengah individu.
2. Sering meraba-raba pipi atau dagu
Mungkin anda tidak sedar ketika melakukannya, namun kerap mengelap peluh pada wajah dengan menggunakan tangan atau menggosok hidung boleh menggalakkan pertumbuhan jerawat dan menyebabkan jangkitan. Justeru itu, elakkan untuk tidak menyentuh jerawat yang terdapat pada wajah kerana perbuatan seperti memicit jerawat boleh menyebabkan bakteria pada jerawat memasuki kulit dengan lebih dalam sehingga mengakibatkan keradangan dan parut yang kekal.
3. Tidak rajin mencuci muka
Anda perlu segera mencuci muka selepas bersenam ataupun melakukan aktiviti lain yang membuat anda berpeluh. Aktiviti fizikal memanaskan badan akan menyebabkan peluh bercampur dengan minyak yang terdapat pada permukaan kulit. Keadaan ini akan menyebabkan pori-pori tersumbat. Sekiranya anda tidak dapat mencuci muka, keringkan wajah dan badan dengan menggunakan tuala kemudian tukar pakaian anda. Memakai pakaian yang basah kerana berpeluh dalam tempoh yang lama khususnya yang ketat akan menyebabkan dada, punggung dan bahagian badan yang lain mudah ditumbuhi jerawat.
Selain itu, sekiranya anda sering mengenakan ikatan di kepala, memakai topi atau helmet maka anda perlulah rajin untuk mencuci tali tersebut untuk mengurangkan pembiakan bakteria.
4. Terlalu kerap mencuci muka menggunakan sabun yang tidak bermutu
Pertumbuhan jerawat bukanlah disebabkan oleh kotoran. Oleh sebab itu, tidak ada gunanya terlalu kerap mencuci muka dengan sabun atau scrub yang mengandungi bahan yang tajam seperti alkohol. Hal ini kerana, keadaan kulit wajah hanya akan bertambah serius kerana dipaksa untuk menghasilkan minyak yang berlebihan.
Ubah tabiat anda dengan membasuh muka dari rahang ke arah ubun-ubun dengan menggunakan sabun yang lembut dan air suam satu atau dua kali sehari. Jangan lupa untuk mencuci tangan sebelum menyentuh kulit wajah. Kemudian, keringkan wajah yang telah dibersihkan dengan menepuk-nepuk tuala yang kering dan lembut (bukan menggosoknya).
5. Membiarkan stres berpanjangan
Mungkin anda pernah mendengar bahawa stres boleh mempengaruhi kesihatan kulit. Hal ini kerana, ketika stres tubuh badan akan menghasilkan hormon stres (kortisol) yang akan merangsang pengeluaran minyak yang berlebihan. Sekiranya minyak yang berlebihan ini bercampur dengan sel-sel kulit mati dan bakteria, jerawat boleh menjadi lebih besar dan bertambah parah.
Sekiranya anda mengalami stres yang berpanjangan, cubalah berehat sebentar daripada rutin harian yang menyebabkan anda stres. Lakukan latihan peregangan dan bernafas dalam-dalam. Bersenam secara konsisten juga sangat baik untuk mengatasi kegelisahan dan mengurangkan stres.
Pada asasnya, tidak ada ubat yang mujarab untuk jerawat. Kebanyakan jerawat ringan boleh diatasi dengan perawatan kulit dan tubuh yang sederhana. Sekiranya apa yang anda lakukan masih belum dapat menghilangkan jerawat, kemungkinan terdapat beberapa faktor yang menjadi penyebabnya. Contohnya adalah seperti perubahan hormon (menstruasi atau kehamilan), pengambilan pil dan ubat-ubatan tertentu, alergi terhadap makanan atau kosmetik dan faktor genetik.
No comments:
Post a Comment