Sri Lanka - Perkhidmatan feri antara Sri Lanka dan India yang dihentikan selama 25 tahun akibat perang saudara, kini kembali beroperasi secara rasmi.
Menurut pengarah syarikat perkapalan Sri Lanka, W. Chandradasa, feri yang diberi nama Scotia Prince dengan kapasiti 1,044 penumpang itu tiba di Colombo dari Tuticorin, sebuah pelabuhan di selatan India.
Jelasnya, feri tersebut akan beroperasi dua kali seminggu dengan tempoh pelayaran selama 10 jam bagi setiap perjalanan, sebelum beberapa buah feri lagi ditambah dalam masa terdekat.
Perkhidmatan feri terawal di antara Rameswaran, bandar di selatan India dan Taimannar di barat laut bandar Sri Lanka dihentikan akibat perbalahan etnik besar-besaran pada tahun 1980-an.
Pada tahun 2009, kerajaan Sri Lanka mengalahkan pemberontak Harimau Tamil Eelam (LTTE) yang berjuang untuk menubuhkan negara bagi etnik Tamil.
Selatan India menjadi penempatan kepada hampir 60 juta etnik Tamil. Ia memiliki persamaan dari segi budaya dan agama yang rapat dengan puak minoriti Tamil di Sri Lanka. - AP
No comments:
Post a Comment