Individu hari ini makan mengikut selera tanpa mengambil kira berapa banyak kalori yang telah diambil. Tabiat ini boleh menyebabkan mereka mudah mendapat penyakit seperti diabetes atau darah tinggi.
BERCAKAP tentang makanan, bagaimana penyediaan sesuatu masakan itu? Adakah ia menepati selera atau banyak menggunakan bahan perasa untuk menyedapkan makanan tersebut?
Tambahan pula, pada zaman moden ini, pelbagai jenis masakan boleh disediakan dalam tempoh yang ringkas dengan hanya menggunakan perencah segera. Ini mendorong ramai individu memilih cara yang lebih mudah untuk memasak.
Menyedari tentang kepentingan bagi menyediakan jenis masakan yang sihat dan berkhasiat, syarikat farmaseutikal Merck, Sharp & Dohme (MSD) telah menganjurkan satu bengkel masakan.
Bertemakan Masakan Ke Arah Hidup Sihat, peserta berpeluang mempelajari beberapa jenis resipi berkhasiat yang disediakan oleh pakar pemakanan dari Pusat Perubatan Prince Court, Datin Farah Diba Khan dan Chef Nicholas Pillai.
Empat resipi tersebut adalah nasi ulam, ayam masak kurma, ayam percik panggang dan sayur lodeh.
Kesemua resipi ini dimasak dengan cara yang lebih sihat, contohnya tanpa menggunakan santan, sebaliknya digantikan dengan yogurt rendah lemak dan susu cair.
"Walaupun tidak menggunakan santan asli seperti kebiasaan yang sering dilakukan kaum ibu, namun rasanya tetap enak. Tambahan dua cawan stok ayam pula, menjadikan masakan itu tidak naik minyak di permukaannya."
"Begitu juga dengan ayam percik panggang, sayur lodeh dan nasi ulam yang baik untuk kesihatan. Semua resipi ini mudah disediakan dan penuh khasiat tersendiri," kata Farah.
Menurut Farah, untuk wanita Asia, mereka hanya memerlukan 1,200 kalori manakala bagi lelaki pula, cukup dengan 1,600 kalori setiap hari.
"Tetapi rata-rata individu hari ini makan mengikut selera tanpa mengambil kira berapa banyak kalori yang telah diambil. Ini secara tidak langsung menyebabkan mereka mudah mendapat penyakit seperti diabetes atau darah tinggi.''
"Oleh itu, setiap individu terutamanya kaum ibu harus memastikan makanan yang dimasak disediakan dengan cara terbaik, berkhasiat dan menyelerakan bagi memelihara kesihatan seisi keluarga," jelasnya.
Sementara itu, Chef Nicholas, berkata, penggunaan bahan penambah rasa monosodium glutamat (MSG) yang terlalu banyak dalam sesuatu masakan juga sebenarnya tidak baik untuk kesihatan.
"Jika perlu, hanya tambah bahan tersebut dalam kuantiti yang kecil. Jangan terlalu banyak kerana ia akan memudaratkan kesihatan," ujar Chef Nicholas yang menjadi anak Malaysia pertama memenangi anugerah tahunan Culinary Trust Award dari Persatuan Kulinari Profesional Antarabangsa.
Pada bengkel tersebut, Farah turut memberi tip untuk mengurangkan pengambilan kalori dengan bahan gantian setiap makanan yang sesuai.
"Contohnya untuk produk tenusu, pengambilan dua biji telur setiap hari boleh digantikan dengan hanya makan telur putih daripada dua biji telur itu atau penggunaan mentega biasa boleh ditukar dengan marjerin rendah lemak.''
"Begitu juga dengan makanan lain seperti daging, ikan, snek ringan, minuman atau pencuci mulut. Semuanya boleh diganti dengan bahan yang sesuai.''
No comments:
Post a Comment