HUJAN pada planet yang baru ditemui, Corot-7b adalah dalam bentuk batu kerikil, bukan titisan hujan. Demikian menurut pengkaji yang menyelidik atmosfera mencadangkan.
Pengkaji-pengkaji di Washington University, St. Louis, Amerika Syarikat (AS) percaya kepanasan planet itu menyebabkan batu berubah menjadi wap. Sedangkan, jika di bumi, air berubah menjadi wap.
Pengkaji-pengkaji beranggapan sebelum menurunkan hujan batu kerikil, awannya seperti menampung timbunan pasir. Mereka percaya ia akan menghujankan batu kerikil ke tasik lava yang menggelegak di bawahnya.
“Atmosferanya terdiri daripada wap yang boleh didapati daripada proses pemanasan batu,” kata profesor sains planet, Bruce Fegley.
“Bergantung kepada cuaca, hujan boleh turun dalam bentuk letusan lava atau batu yang turun seperti salji.”
Fegley yang mengkaji atmosfera Corot-7b bersama pembantunya, Laura Schaefer menambah, cara cuaca berlaku di planet itu masih tidak diketahui.
Saintis-saintis Eropah yang mengumumkan penemuan planet di luar sistem suria meminta pengkaji universiti berkenaan untuk meramalkan model atmosferanya.
Walaupun angkasawan telah menemui lebih 300 planet di luar sistem suria, namun Corot-7b paling menarik perhatian kerana ia satu-satunya planet yang disahkan mempunyai permukaan berbatu berbanding yang lain yang hanya gumpalan gas.
Corot-7b juga terletak terlalu dekat dengan mataharinya menyebabkan suhu di permukaan planet itu melebihi 1,982 darjah Celsius. Ia terlalu panas untuk didiami hidupan.
No comments:
Post a Comment