TERPESONA dan teruja. Demikian gelagat sekumpulan kanak-kanak prasekolah yang datang untuk melawat sebuah akuarium unik di Otemae College of Confectionary & Nutrition di Osaka, Jepun baru-baru ini.
Diberi nama Sweets Aquarium, ia mengandungi 1,000 ikan kecil termasuk seekor paus biru sepanjang 2.7 meter.
Namun, tahukah anda bahawa semua ikan tersebut diperbuat daripada gula-gula. Unik bukan?
Ternyata kreativiti yang ditunjukkan oleh sekumpulan 200 pelajar kolej tersebut berjaya menarik perhatian khalayak untuk menyaksikan sendiri hasil kerja tangan mereka yang penuh kehalusan.
Apa yang pasti, projek menghasilkan ikan daripada gula-gula itu merupakan tarikan utama sempena festival tahunan anjuran Otemae College of Confectionary & Nutrition.
Sekali pandang, kesemua ikan yang berada di dalam Sweets Aquarium kelihatan seolah-olah berenang-renang dengan bebasnya.
Namun, hakikatnya ia hanya digantung menggunakan benang halus daripada bahagian atas akuarium. Paling menonjol sudah tentu si paus biru yang comel dengan mulut ternganga dan dipenuhi bintik-bintik putih sekali gus menjadi kegilaan kanak-kanak yang datang.
Di samping itu, ikan-ikan kecil yang lain pula dihasilkan penuh warna-warni untuk menceriakan suasana dalam akuarium unik itu.
Tidak ketinggalan, hidupan laut seperti penyu, ikan pari, rumpai laut, belut dan sebagainya turut menjadi hiasan di dalam akuarium tersebut.
Malah, susun atur kawanan ikan-ikan kecil dan hidupan lain juga dibuat penuh teliti berdasarkan gambaran dokumentari hidupan laut yang pernah disiarkan di televisyen.
Justeru, tidak hairanlah jika pengunjung yang hadir sentiasa menekan punat kamera dan mengambil peluang untuk bergambar dengan koleksi ikan dan hidupan laut yang diperbuat daripada gula-gula itu.
No comments:
Post a Comment